Memaparkan catatan dengan label Hantu Penanggal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hantu Penanggal. Papar semua catatan

Ahad, 13 Disember 2020

Hantu Penanggal Belakang Rumah Nenek


Cerita ini diceritakan oleh Along, kakak kepada penulis yang mengalami sendiri pengalaman ini.  “Aku” di dalam cerita ini adalah Along.

*               *          *            *            *

Aku mengelap peluh yang menitik laju daripada dahi.   Van sekolah Ayah Long memang padat.  Tambah pula dengan suhu waktu tengahari yang begitu terik, memang merangsang kalenjar peluh untuk bekerja keras.  Cepat- cepat aku melangkah besar untuk masuk ke rumah.  Halaman rumah nenek memang luas.  Jarak antara pintu pagar dengan tangga rumah boleh membuatkan peluh semakin mencurah.  Ku jeling garaj di tepi rumah, kereta Aunty Imah masih tiada di situ.  Tandanya, Aunty Imah masih di sekolahnya.

“Long, cepat naik.  Nenek dah lapar ni.”

Tidak sedar, bila nenek sudah ada atas beranda.  Aku bergegas naik, simpan beg, tukar baju dan turun ke dapur.

“Malam ni ada majlis di masjid sana.”

AKu yang tengah menikmati kari ikan merah masakan nenek terdongak.

“Masjid mana, nek?”

“Masjid kat Rusila sana.  Nenek dengan Aunty ko nak pergi.  Ko nak ikut tak?”

Terus aku terbayang laporan makmal yang tak siap lagi.  Esok nak hantar.  Aku baru je belajar cara yang betul untuk buat jawapan dalam soalan itu dengan Siti waktu rehat tadi.  Kalau aku ikut nenek, sempat ke aku nak siapkan?

“Tak nak ikut sudah.  Tapi nenek balik lambat.  Nak singgah rumah tok besan jugak.”

Eh?  Aku tak cakap apa pun lagi.  Hadap je lah…

*                   *                          *                       *

“Along, nenek pergi dulu.  Ko kunci semua pintu tingkap.  Check dulu tingkap2 dapur tu.  Baru kau nak berkurung dalam bilik pun.”

“Baik, nek.”

Aku salam nenek.  Aunty dah tekan-tekan minyak dari dalam keretanya.  Aku geleng kepala sahaja melihatkan telatah Aunty.  Setelah kereta beredar, aku segera kunci semua pintu tingkap.  Dapur belakang, atau dapur basah rumah nenek ini, masih menggunakan tingkap style lama.  Tingkap yang berdaun pintu seperti pintu, tetapi saiznya hanya separa pinggang sahaja.  Kiranya, kalau orang mampu cungkil daun tingkap itu, memang lolos tubuh lelaki dewasa untuk masuk.  Ngeri aku bayangkan.

Aku perhatikan senarai kerja rumah hari ini.  Masya Allah.  Bukan sahaja laporan makmal rupanya, yang perlu aku siapkan.   Kelas Teacher Rozana pun haru ni… Aku kena siapkan 3 essay malam ini!  Pukul berapa aku boleh tidur?  Aduhhhh….

Prangggggg.

Bunyi guruh menggegarkan suasana.  Seketika, hujan turun dengan lebat-selebatnya.

Aku keluarkan buku karangan Bahasa Inggeris dari beg sekolah.  Teacher Rozana memang friendly ketika mengajar.  Tapi, kalau kerja tak siap, memang nahas.   Dan aku tak mahu cari nahas.

Aku mula mengarang..

Siap essay pertama.

Mengarang lagi…

Aku tak sedar bila aku terlelap.

Bila aku terjaga, hujan sudah berhenti.  Suasana sunyi.

Sangat sunyi.

Biasanya, selepas hujan akan kedengaran katak sahut bersahutan, tapi malam ini tidak seperti biasa.  Tiada kedengaran sebarang bunyi sekalipun.

Biasanya kalau jam sepuluh ke atas akan kedengaran bunyi mat- mat motor berlumba di jalanraya.  Tapi malam ini tidak ada.

Aku berjalan ke arah bilik nenek. Kelihatan sekujur tubuh berselimut hingga menutup kepalanya.  Oh, nenek sudah balik.  Aku bergerak ke dapur pula untuk bancuh secawan kopi buat penyegar mata.  Masih ada dua essay perlu aku selesaikan malam ini.  Ku jeling jam di dapur, sudah jam 12 malam.  Masih ada masa untuk aku selesaikan.

Sedang aku mengacau kopi dalam cawan besar milik abah yang biasa dia guna kalau balik ke sini, aku terdengar seperti suara manusia teresak-esak menangis.  Aku cuba cari punca suara tersebut.  Seperti datangnya dari pokok kuini belakang sinki nenek.  Jap, siapa pula yang menangis di bawah pokok kuini nenek tu..  Pokok Kuini itu ditanam sebagai sempadan tanah nenek dengan tanah Su Leman.  Su Leman pula dah lama menetap di Australia dengan anaknya.  Tanah dia terbiar tak bertuan, semak merimbun.  Rumah pusaka Su Leman pun dah lama dipanjat pokok-pokok yang tak tahu apa jenisnya.

Esakan makin kuat.

Aku buka selak yang mengunci tingkap sebelah singki nenek.

“Siapa??”

Kedengaran dedaunan bergeseran.  Mataku meliar memerhati sekeliling.  Tidak ada sebarang pergerakan di rumput…  Mataku merayap pula ke batang Pohon Kuini.  Di hujung sebatang dahan, kelihatan dedaunan Kuini bergerak-gerak.  Mataku tajamkan, cuba mengenal pasti objek yang bergerak itu.  Ayamkah, musangkah?  Tapi aku pasti, suara tangisan itu memang datang dari daun-daun yang bergerak itu.

Dari celah dedaunan Kuini, aku dapat lihat rambut.  Rambut manusia!  Rambut yang panjang mengurai, kusut-masai.  Rambut semata.  Tanpa badan.

Pantas otakku mencerna.

Ini bukan manusia!!!

Serta merta tubuhku menggigil.

Aku berlari naik ke rumah.  Aku lupa untuk kunci tingkap belakang.  Tapi aku yakin aku sudah kuncikan pintu yang memisahkan antara dapur tengah dengan ruang rehat keluarga.

Aku berlari ke bilik nenek untuk dapatkan sokongan nenek.

“nenek..nenek”

Aku buka pintu bilik.  Bilik nenek gelap.  Atas katil, kosong!

Aku cuba dapatkan Aunty pula.  Pintu bilik Aunty kubuka.

Kosong!

Mana semua orang? Dari tingkap bilik Aunty, kulihat garaj kereta turut kosong!

Maknanya aku seorang, untuk hadapi malam yang sukar ini.

Dari atas bumbung, kedengaran geseran yang kuat.

Geseran seperti adikku Aliaa yang mengheret plastik sampah yang penuh dengan isi .  Dan  geseran di atas bumbung ini seperti betul-betul berada di atas tempat aku berdiri.  Geseran yang perlahan dan berat.  Diselangi bunyi hilaian.  Bukan hilaian.  Tapi lebih kepada seolah seseorang gelak mengejek.  Mengejek aku yang terketar- ketar ketakutan seorang diri dalam rumah pusaka besar ini.

Aku berlari keluar dari bilik Aunty.  Aku tak tahu ke mana untuk dituju.  Geseran di bumbung seperti mengikut arah kakiku juga.

Aku berlari ke bilik sendiri.  Ku kunci pintu.  Aku tersandar kepenatan di pintu bilik.  Ketawa mengejek yang kudengar tadi telah bertukar kepada hilaian jahat.  Aku menggigil.  Kuat sekali.

“Allah…Allahuakbar…”

Aku cuba ingati ayat-ayat lazim, tapi gagal!

Dari jauh, kudengar lolongan anjing sayup, sayu, tambah menegakkan bulu roma.

Pandanganku gelap.

*                   *                     *

“Along?  Along!  Bangun.  Kenapa tidur di sini?  Allah, panas badan budak ni.”

Perlahan aku buka mata.  Aku berada di beranda rumah nenek.  Bila aku keluar dari rumah?   Semalam, bukan ke aku masuk ke bilikku?

“Makk…  cangkul mana, mak?”

Aku toleh keliling.  Suara Aunty.

“Nak buat apa dengan cangkul pulak?”

“Ni hah, ada lima ekor ayam kita mati, mak.  Penanggal datang lagi malam tadi, gayanya ni.”

“Astaghfirullah….”

Penanggal?!

Tamat.

Disclaimer:

1.  Along tinggal bersama nenek kerana abah ada terdengar ura-ura yang dia akan berpindah ke kampung nenek.  Jadi abah pindahkan along terlebih dahulu, kerana Along akan menduduki peperiksaan penting.

2. Nenek dan Aunty pada malam itu bermalam di rumah besan nenek kerana ribut yang kuat, Aunty tak mampu drive balik.

3. Peristiwa ini terjadi di bandar Kuala Terengganu 22 tahun lepas, nama kampung di mana rumah nenek berada, biarlah hanya kami yang tahu.   Cerita ini saya olahkan sekarang kerana kedengaran cerita dari adik dan kawan2 di Terengganu, mengatakan langsuir kembali ke Kuala Terengganu kebelakangan ini.  Wallahualam.

Himpunan cerita seram, gambar dan video seram

Memancing di Pulau Puaka

Aku ni tak la hobi memancing sangat. Tapi sebab pulau aku keje ni facilities dia tak lengkap, takde tempat nak pegi sangat. Mall ke movie ke...