Memaparkan catatan dengan label Minyak Dagu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minyak Dagu. Papar semua catatan

Khamis, 31 Disember 2020

MINYAK DAGU



Kisah ini merupakan satu perkongsian yang diceritakan kepada saya oleh ayah saya sewaktu saya di sekolah menengah dulu. Penulisan ini dibuat berdasarkan apa yang tersemat di dalam memori saya iaitu kronologi peristiwa dan fakta yang diberikan. 

Ayah saya merupakan seorang guru dan sewaktu zaman mudanya, dia menghabiskan banyak masa untuk bergaul serta bercampur dengan masyarakat orang asli untuk mempelajari kehidupan dan adat mereka termasuklah ilmu untuk membina perangkap, tempat tinggal sementara dan ritual mistik. Selamat membaca semua!.

Sewaktu zaman 70-an, aku suka untuk mengembara dan menjelajahi kawasan hutan simpan yang merupakan salah satu tempat untuk aku melepaskan segala tekanan kerja untuk mendidik dalam usaha untuk menjadikan anak-anak bangsa di Malaysia ini berjaya dan menjadi individu yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Cuti akhir tahun persekolahan pada tahun 70-an merupakan satu masa yang mengujakan diri aku kerana sudah lama aku membuat perancangan untuk menetap di satu penempatan orang asli yang berada di satu sempadan buat 2 negeri ini. 

Mengikut kepada pengalaman aku sebelum ini, terdapat banyak ilmu-ilmu serta pengetahuan yang baru apabila aku menetap di sana bersama dengan mereka.

Kawasan hutan tersebut merupakan salah sebuah kawasan kegemaran aku kerana sewaktu itu, mereka masih lagi mengamalkan adat dan budaya tanpa terikut-ikut dengan perkembangan dan pembangunan di negara kita sewaktu itu, iaitu era modenisasi. 

Di sana, terdapat satu suku kaum yang amat terkenal dengan ilmu-ilmu mistik mereka. Baik untuk mendapatkan toyol, ilmu batin, sihir melalui angin dan yang paling utama sekali adalah Minyak Dagu, di situlah tempatnya untuk mendapatkannya atau mempelajari mengenainya.

Ritual ini memerlukan satu bahan yang cukup payah dan jarang-jarang sekali ada, iaitu wanita yang maut dalam usaha mereka untuk melahirkan anak yang pertama mahupun sewaktu anak pertama itu masih lagi berada di dalam kandungan si ibu. Aku rasa amat bertuah kerana kunjungan aku kali ini tepat pada masanya.

Di kala zaman komunikasi melalui surat masih lagi merupakan salah satu kaedah untuk berkomunikasi dengan efisyen sewaktu itu, aku agak hairan bagaimanakah berita kematian seseorang itu boleh tersebar sehinggakan ke kampung-kampung lain yang terletak agak jauh daripada mereka yang meninggal dunia itu.

Di perkampungan yang menjadi tempat untuk aku menetap selama 1 hingga 2 minggu ini, terdapat seorang bomoh yang agak terkenal di situ. Orang kampung di sini memanggilnya dengan nama Tok Awang (Bukan nama sebenar). Dia juga merupakan bomoh batin yang handal untuk merawat pesakit, penghantaran santau dan lain-lain.

Apabila berita kematian itu sampai ke telinganya, maka, Tok Awang sudah bersiap sedia untuk melaksanakan misinya untuk memperolehi bahan mentah untuk memproses minyak dagu. Objektif misi ini pada kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang. 

Man merupakan seorang anak didik Tok Awang dan memandangkan dia sendiri sudah pun tua, maka tidak hairanlah dia memerlukan bantuan untuk tugasan-tugasan berat seperti membawa peralatan dalam jarak yang jauh serta menggali semula tanah kubur tersebut.

Setelah aku ‘membayar’ Tok Awang dalam bentuk rokok tembakau tanpa penapis dan wang berjumlah 2 ringgit 50 sen, dia mengasapkan aku dengan asap kemenyan demi menjadikannya sebagai syarat wajib sebelum memberi kebenaran untuk turut menyertai misi mereka itu.

Menjelang waktu maghrib, aku dapat lihat Man sudah bersiap sedia membawa cangkul yang diikat di belakangnya serta lampu minyak tanah. Mereka berdua bukanlah orang Islam, sebaliknya mereka mempertuhankan alam semulajadi, yang mana mengikut pada mereka, setiap pokok, kawasan hutan serta sungai mempunyai penunggu dan tuannya sendiri.

Sembahan dan doa kepada tuhan-tuhan mereka ini tak silap aku dikenali sebagai pagan. Mereka memuja penunggu-penunggu dan tuhan-tuhan ini bagi mendapatkan hasil dan rezeki di dalam hidup mereka yang lebih banyak serta meningkatkan kekuatan batin dan fizikal mereka.

Misi kali ini memerlukan pergerakan secara stealth macam dalam permainan video Metal Gear Solid mahupun splinter cell (sorry, rasa lawak pula tengok perkataan stealth tu dalam konteks artikel sebegini - dan yang mengarut ni penulis yang tulis) atau pergerakan secara senyap-senyap. Hal ini adalah kerana sewaktu itu, permintaan minyak dagu ini amat tinggi.

Daripada segi kegunaannya pula, minyak ini amat popular dan dikatakan dapat mengawal hidup seseorang mahupun untuk membuatkan wanita tergila-gilakan lelaki atau lelaki yang akan menjadi pak turut dalam sesebuah rumah tangga dengan satu calitan sahaja.

Dengan harga yang amat tinggi, maka terdapat banyaklah kes penggalian kubur semula secara haram berlaku. Tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan menjual minyak dagu yang palsu. Mahu tak mahu, pergerakan ke arah kubur tersebut seharusnya dilakukan untuk memastikan mereka tidak ditangkap ketika mereka berdua menjalankan operasi tersebut, tambahan pula, wanita yang meninggal itu pula berasal daripada suku kaum di kampung yang lain.

Aku bertanya kerana berasa sedikit risau kepada Man, kerana sekiranya Minyak Dagu ini terhangat di pasaran (KRU), maka, pasti akan ada kemungkinan untuk bomoh-bomoh yang berasal daripada kampung lain untuk datang juga membawa objektif yang sama dengan Tok Awang.

Man tersenyum sahaja memandang aku dan kata Man, sebelum mereka berdua ke sana, mereka telah pun mandi dengan air yang dibaca pelbagai jampi terhadapnya, yang akan menjadikan mana-mana orang yang ingin mendapatkan mayat tersebut tidak jumpa di manakah kuburnya.

Penggalian kubur ini perlu dilakukan secara senyap-senyap. Maklumlah, kali ini, mayatnya berasal dari kampung sebelah, dan mana mungkin orang membenarkan sesiapa untuk menggali kubur, dan membuat macam-macam perkara terhadap jenazah yang baru ditanam.

Akhirnya kami tiba di tanah perkuburan yang dimaksudkan itu setelah sejam setengah berjalan merentasi hutan belukar dan semak samun yang tinggi separas leher. Nyamuk, pacat dan lintah, semuanya aku rasa sepanjang perjalanan dan yang lebih menyeksakan adalah sekiranya terdapat nyamuk di badan aku, aku tidak boleh menepuknya dengan kuat kerana bimbang misi ini akan di kompromi kerana bunyinya yang kuat.

Maklumlah aku duduk di bandar, mana pernah merasai perkara sebegini dan walaupun sebelum ini aku banyak membuat perjalanan yang lebih kurang sama di penempatan orang asli di negeri lain, namun, setiap perjalanan itu tidak pernah sama.

Setelah itu, kami duduk sebentar di balik semak-samun yang tinggi dan yang terdiri daripada pelbagai pokok termasuklah lalang. Pokok lalang tersebut yang membuatkan kulit aku yang bersentuhan kepadanya berasa gatal. 

Aku tergaru-garu di sana dan sini yang mana bukan akan meredakan kegatalan tersebut, tetapi menjadikannya lebih teruk. Tok Awang memerhatikan sahaja gelagat aku dan dia tersenyum. Man juga begitu.

“Orang bandor…gitulah dia bak kata bini aku. Dia orang Muor jugak tu”, kata Man dengan dialek Muar.

Daripada tempat yang kami bertiga berehat, aku boleh nampak dengan jelas kawasan perkuburan yang dimaksudkan itu walaupun di waktu malam memandangkan bulan mengambang penuh ketika itu dan mata aku sudah pun boleh ‘adapt’ terhadap kegelapan malam.

Daripada jauh, tampak juga beberapa orang yang sedang berdiri di kawasan perkuburan tersebut, dan melihatkan salah seorang daripada lelaki di situ menangis teresak-esak, aku boleh agak bahawa kemungkinan besar, dia merupakan saudara, atau suami si mati.

Tok Awang berbisik untuk memastikan aku mendiamkan diri, dan jangan bergerak secara tiba-tiba kerana takut akan orang yang berada di kubur itu nampak kami. Jika perlu bergerak sekalipun, pergerakan tersebut perlu dilakukan dengan perlahan. Aku menunggu dengan penuh kesabaran.

Sejam selepas itu, mereka beredar. Jam tangan digital berbentuk petak yang aku pakai itu menunjukkan pukul 10 malam. Kami bertiga bingkas bangu dan keluar dibalik semak itu secara perlahan-lahan dan terbongkok-bongkok menghala ke kubur tersebut. 

Setelah memastikan kawasan tersebut sudah tiada orang, Man menyalakan semula lampu minyak tanahnya menggunakan mancis yang dia bawa. Tok Awang menggulung-gulung kertas rokok tembakau dan mencucuhnya kepada api yang berasal daripada lampu minyak tanah tersebut.

Man mendekatkan lampu tersebut kepada kubur tadi. Tanah merah yang masih lembab itu memberi kepastian bahawa itulah kuburnya. Tanpa disuruh, Man segera meletakkan lampu minyak tanahnya di balik kayu penanda kubur tersebut kerana mereka tidak mempunyai batu nisan, dan seterusnya memulakan penggalian. 

Dengan mudah mata cangkul menembusi tanah yang masih lembut itu. Pergerakan Man yang pantas dan senyap dalam menggali kubur itu sedikit sebanyak memberitahu aku bahawa ini bukan kali pertama mereka buat kerja ini.

Aku menawarkan diri untuk sambung menggali apabila aku kelihatan Man sedikit termengah-mengah, tetapi dihalang oleh Tok Awang. Aku orang luar, tidak boleh melakukan perkara-perkara sedemikian, takut tak jadi katanya. Setelah setengah jam menggali, mata cangkul terkena sesuatu yang keras.

Itulah saat yang ditunggu oleh Tok Awang, kerana penggalian sudah pun sampai ke keranda. Memang aku perasan, tanah perkuburan itu bukanlah tanah perkuburan Islam, sebaliknya tanah perkuburan masyarakat orang asli yang aku tak pasti beragama apa. Sama ada pagan ataupun bukan, aku memang tidak tahu.

Setelah dibersihkan semua tanah yang menutupi atas keranda itu, terus Tok Awang melompat ke dalam kubur tersebut. Perlahan-lahan keranda dibuka. Aku tiba-tiba rasa cuak, ibarat baru tersedar bahawa ada mayat yang baru sahaja ditanam di dalam keranda tersebut kerana fikiran aku menerawang jauh memandangkan aku duduk sahaja di situ dan memerhatikan sahaja Man membuat kerja.

Saat dibuka penutup keranda itu, semerbak bau kapur barus dan daun pandan yang memenuhi ruang. Terdapat sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih di dalamnya. Tok Awang selamba sahaja membuka kain yang menutupi wajah mayat itu.

Bau cendana mengisi atmosfera setelah kain yang membaluti mayat pesakit dibuka, menampakkan wajah mayat. Wajahnya pucat serta kebiru-biruan. Matanya tertutup dan mulutnya terbuka sedikit. 

Apabila aku menghampiri kubur tersebut, aku hampir nak muntah apabila tiba-tiba bau busuk pula yang keluar, mungkin bau proses pereputan yang sudah mula berlaku. Dibalik kain putih yang menutupi mayat itu, aku dapat lihat bahagian perutnya agak membusung. Maklumlah mayat tersebut maut ketika mengandung.

Tok Awang kemudiannya memanjat keluar dari lubang kubur sedalam 6 kaki itu. Dia teraba-raba isi begnya yang sebenarnya bukan beg, sebaliknya kain pelikat yang di lipat dan diikat untuk menjadikannya sebagai satu beg. 

Dia mengeluarkan satu kitab kecil daripada ‘beg’ tersebut. Dalam kesuraman malam, kitab tersebut nampak seperti kitab lama, berdasarkan ada beberapa halaman yang aku perasan berlubang-lubang, mungkin akibat dimakan anai-anai.

Dia kemudiannya mengeluarkan sebongkah kemenyan. Man mendekatkan lampu minyak tanah dan membakar kemenyan tersebut. Aku mula bertanya kepada Tok Awang.

"Tok, kenapa kita nak kena bakar kemenyan?"

"Sebab nak menutupi bau mayat yang sudah nak reput ini, lagi satu aku nak jamu 'benda-benda' tu dengan asap kemenyan ni. Memang kegemaran mereka. Senang saje (sahaja) nak bodek benda-benda ni, kau bagi dia makan, dia tak kacau kau lah ", jawabnya sambil menyelak halaman demi halaman dalam kitab lamanya itu.

Setelah bau kemenyan yang kuat memenuhi ruang atmosfera di situ, Tok Awang mula membacakan mantera. Aku cuba mendengar dengan teliti kerana suara Tok Awang sungguh perlahan, namun aku langsung tak memahaminya kerana mantera tersebut bukan dibaca dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa lain yang aku tidak pasti. 5 minit kemudian, Tok Awang meminta Man untuk menghulurkan satu bekas kaca yang kecil, serta sebatang lilin berwarna merah. Man menggores sebatang lagi mancis untuk menyalakan lilin tersebut.

Dengan memegang lilin, Tok Awang melompat semula ke dalam lubang kubur itu, dan Man menurutinya. Tok Awang memegang dagu mayat itu, dan kali ini terpampang jelas muka mayat ini tadi. Kain yang diikat di bahagian bawah dagu si mati untuk memastikan mulutnya tidak terbuka ketika upacara pengebumian tadi dibuka ikatannya perlahan-lahan. Dengan menggunakan ibu jarinya, Tok Awang menolak dagu mayat tersebut ke atas, seakan-akan mahu menutupi mulut mayat tersebut.

Namun, disebabkan mayat tersebut telah kaku, tolakkannya ke atas menyebabkan seluruh kepalanya terdongak. Kemudian dia mendekatkan lilin tadi, sambil menyuruh Man memegang bekas kaca itu dan meletakkannya betul-betul di bawah dagu mayat tersebut untuk menadah minyak yang bakal keluar. 

Setelah dibakar dagu mayat itu menggunakan lilin, aku terperasan ada titisan minyak mula terbentuk, sedikit demi sedikit memenuhi bekas kaca yang ditadah itu. Sambil itu, Tok Awang menyambung bacaan mantera itu.

Aku terkejut beruk dan hampir nak pitam apabila aku dapat lihat sendiri mata mayat itu terbuka, dan berkelip-kelip. Seolah-olah ingin meronta, tetapi terhalang dek tolakan Tok Awang yang kuat. Bunyi nafas yang amat kuat dan mendengus-dengus seperti anjing liar itu memang amat menakutkan aku.

Upacara itu diteruskan tanpa memperdulikkan gerak-geri badan mayat tersebut yang semakin lama semakin kuat. Setelah bekas kecil itu terisi satu per empat dengan minyak itu, Tok Awang meniup lilin untuk memadamkan api, seraya sebelah tangannya menutup kelopak mata mayat tadi yang terbuka dan tidak semena-mena mayat tersebut kembali keras dan kejung.

Mayat tersebut dibaluti semula, keranda ditutup, dan kali ini aku bersama Man mengambus semula lubang yang digali tadi. Perjalanan terasa sungguh jauh kerana kami perlu merentasi semula hutang belukar dan sungai untuk kembali ke kampung asal tadi.

Setibanya di rumah Tok Awang, sinaran lampu kalimantang berwarna putih itu menampakkan dengan lebih jelas akan kandungan botol kaca itu. Saiznya kecil sahaja, ibarat sebesar tabung uji, tetapi lebih pendek. Terisi satu cecair berwarna keemasan, ibarat warna minyak masak.

"Kira dah selesai la kan upacara ni Tok", aku bertanya.

"Ish, ini baru permulaan, sekarang aku perlu membuat minyak ini tunduk pada aku, supaya aku boleh kawalnya", jawab Tok Awang.

Aku sedikit tidak faham, namun belum sempat aku habis bertanya, Tok Awang membaca mantera lagi. Kali ini ada sedikit-sedikit bahasa Melayu yang aku fahami. 

(AMARAN - ini bukan bacaan jampi yang sebenar)

"Mari sini datang kemari

Mari bersahabat bersama aku

Mari datang menjadi diriku

Datang taat turut perintahku

Jangan berani kau ingkar

Jangan berani langar perintahku

Jika engkau ingkar juga

Akanku buang engkau ke tengah laut"

Sehabis membaca mantera itu, aku lihat Tok Awang mencucuk jari telunjuknya menggunakan jarum yang agak besar. Bentuknya ibarat jarum jahitan cuma saiznya amat besar. Kemudiannya, Tok Awang memicit jarinya itu, memaksa darah keluar daripada jarinya. Darah itu dititiskan di dalam bekas kaca itu.

Saat darah itu bersentuhan dengan minyak tersebut, tiba-tiba sahaja aku terdengar bunyi bayi yang menangis dengan begitu kuat sekali. Setitik demi setitik di masukkan, dan suara bayi menangis itu semakin lama semakin perlahan dan akhirnya berhenti. 

Perkara tersebut menyebabkan aku menggeletar ketakutan kerana entah dari mana datangnya bunyi tangisan bayi tersebut, aku pun tidak tahu.

"Sebenarnya, darah ini aku rasakan untuk memastikan dia tahu tuan dia siapa. Ibarat macam bayi yang baru dilahirkan, ibunya akan memberikannya susu bukan? Sama sahaja, kecuali ‘dia’ tidak minum susu, dia minum darah. Dengan cara inilah aku boleh kawal dan memberi arahan kepadanya untuk melakukan sesuatu. Sebab makanan dia cuma satu, darah. Darah siapa yang hinggap terlebih dahulu, itulah orang yang bakal menjadi tuannya", kata Tok Awang menjelaskan perkara itu kepadaku.

Aku masih lagi gementar apabila benda-benda ini terjadi di hadapan mataku. Ibarat sesuatu yang tak dapat difikirkan dan tak terjangkau dek akal fikiran. Kalau nak dikatakan mengenai logik atau tidak perkara itu, sememangnya tak logik. 

Tok Awang memberitahu aku mengenai fungsi minyak dagu ini, yang mana apabila dicalit oleh tuannya kepada seseorang, orang terbabit akan tunduk dan mengikut kata apa yang kita hendaki.

Sama ada nak membuatkan orang itu jatuh cinta, atau tunduk patuh mengawal suami atau isteri yang degil, serta kebolehan untuk mengawal kehidupan seseorang itu. 

Betapa bahayanya kesan apabila terkena minyak dagu ini, yang sering dicalit tanpa pengetahuan orang, dan lebih teruk, akan ada orang yang mencalit minyak ini di tombol pintu, menyebabkan mangsa yang terpegang minyak tersebut tak semena-mena tunduk dan patuh kepada tuan minyak itu.

Memang tak dinafikan, seseorang yang terkena sihir ini, akan jadi suka menyendiri, serta hilang kewarasan. Kata Tok Awang, jika seseorang itu terkena sihir ini, akan terbayang-bayang muka tukang sihir ini, membenci dan tidak mengenali ahli keluarga mereka sendiri serta mempunyai nafsu yang tidak dapat dikawal terhadap tukang sihir.

Memang aku sendiri pernah mendengar, mereka yang terkena sihir ini akan mula bermimpi mengenai ular hitam, anjing hitam serta seringkali termimpikan wajah penyihir itu sendiri. Memang rawatannya ada kerana sihir minyak dagu ini amat sensitif dengan ayat-ayat Al-Quran.

Mereka yang sentiasa berada dalam keadaan berwuduk akan sedikit susah dikawal dan kadangkala tidak berkesan. Namun, sekiranya sudah terkena, memang sukar untuk dirawat. Jadi, amalan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk serta mengamalkan surah 3 Qul sangat-sangat berkesan dalam mencegah sihir ini.

Pengalaman ini membuatkan aku sedikit berwaspada terhadap keadaan di sekeliling aku. Bukan itu sahaja, mulai daripada saat itu, aku merajinkan diriku sendiri membaca Al-Quran setiap hari, sebagai pendinding terhadap sihir-sihir sebegini.

Aku ingin sangat nak katakan perkara ini hanyalah mainan tidur, tetapi tidak. Perkara ini betul-betul terjadi dan memang tidak akan dapat dijelaskan dengan sains. Tapi apa yang pasti, dengan mengetahui wujudnya benda-benda sebegini, maka, lebih kuat dan teguh lah keimanan aku terhadap agama aku, Islam.

TAMAT

Himpunan cerita seram, gambar dan video seram

Memancing di Pulau Puaka

Aku ni tak la hobi memancing sangat. Tapi sebab pulau aku keje ni facilities dia tak lengkap, takde tempat nak pegi sangat. Mall ke movie ke...