Menjadi seorang pelajar perubatan, memang salah satu subtopik yang perlu dipelajari adalah anatomi, iaitu mempelajari struktur tubuh badan manusia. Daripada sekecil-kecil saraf, sehinggalah sebesar-besar tulang-temulang, jantung, otak dan paru-paru.
Kes ini berlaku sewaktu pembelajaran aku di sebuah universiti pada tahun 2007. Ijazah yang aku ambil ini bakal mendapatkan aku kelulusan Medical Doctor atau MD yang mana mempunyai sedikit (insignificant) kelainan berbanding dengan ijazah MBBS. Perbezaan ini juga adalah berdasarkan negara di mana terletaknya universiti tersebut.
Oleh yang sedemikian, pembelajaran mengenai anatomi ini agak terhad daripada segi praktikal yang mana aku tiada peluang untuk membelah kadaver (mayat), atau dikenali sebagai dissection. Pengajian MD ini lebih kepada menumpu kepada penyakit yang berkaitan perubatan, bukan pembedahan.
Aku baik dengan Professor Madya Salman (PM Salman - Bukan nama sebenar), iaitu seorang pensyarah di jabatan anatomi sewaktu aku berada di tahun satu di universiti tersebut.
Oleh itu, sekiranya ada masa untuk beliau dissect kadaver untuk tujuan pembelajaran khususnya kepada pelajar-pelajar yang menyambung pembelajaran dalam bidang Anatomy (Master), beliau akan membuat panggilan telefon kepada aku untuk menyertainya sebagai seorang penolong.
Terdapat satu ruangan simpanan di belakang Muzium Anatomi di universiti tersebut yang menempatkan mayat yang didapati sama ada dengan pendermaan ataupun mana-mana jenazah yang tidak dituntut.
Tempat simpanan mayat ini tidak sama dengan tempat simpanan mayat yang bakal dibuat autopsi seperti yang berada di dalam jabatan forensik di hospital-hospital kerajaan. Aku tahu, ramai menyangka bahawa mayat-mayat ini disimpan dalam laci seperti yang ditunjukkan di dalam filem-filem mat Salleh.
Perbezaannya di sini adalah tempat penyimpanan mayat di hospital untuk tujuan autopsi memerlukan preservation yang agak singkat kerana kebanyakan mayat ini perlu diketahui punca sebenar kematiannya, terutama sekali yang berkait rapat dengan jenayah. Sudah tentu kes polis memerlukan masa yang pantas untuk memastikan sama ada mayat tersebut dibunuh atau sebaliknya.
Laci yang menempatkan mayat ini sebenarnya adalah sebuah peti sejuk untuk yang diubahsuai. Suhu yang rendah ini dapat merencatkan proses pereputan mayat.
Untuk mayat yang disimpan bagi tujuan dissection yang mana selalunya berada di hospital universiti pula, tempat penyimpanan mayat ini berbentuk seakan-akan tab mandi. Mayat-mayat yang berada di sini disusun di dalam posisi berlawanan antara satu sama lain. Maksud aku, untuk mayat di bawah, kakinya berada di kepala mayat di atasnya, dan kepala mayat yang berada di atasnya pula terletak di bahagian kaki mayat di bawahnya.
Selalunya, terdapat 3 hingga 4 mayat di dalam satu tab dan terendam di dalam larutan formaldehyde dan chloral hydrate, iaitu larutan yang digunakan untuk tujuan pengawetan dan melambatkan proses pereputan. Susunan bertimpa-timpa antara satu sama lain ini bukanlah satu bentuk penghinaan kepada mayat-mayat tersebut, tetapi lebih kepada penjimatan ruang semaksimum yang mungkin dan menjimatkan kos bahan pengawet.
Aku tahu, untuk mayat yang tak dituntut dan disimpan melebihi 14 hari di sesebuah hospital dan bukan beragama Islam, ianya akan diserahkan ke pihak universiti untuk tujuan akademik. Itulah prosedurnya untuk mendapatkan mayat mengikuti garis panduan (SOP) yang dibuat oleh kementerian kesihatan.
Mayat-mayat yang tidak dituntut ini ni bukan semuanya berasal daripada Malaysia. Tak silap aku, PM Salman mengatakan ada juga beberapa mayat yang berasal daripada negara lain seperti India, Pakistan, Indonesia dan negara-negara jiran yang lain serta diketahui sebagai bukan beragama islam.
Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, PM Salman menghantar SMS kepada aku dan mengatakan bahawa beliau memulakan prosedur dissection untuk salah satu satu mayat pada petang hari tersebut. Aku seperti biasa, agak teruja, ditambah lagi apabila beliau mengatakan bahagian yang ingin dipotong itu adalah bahagian kepala untuk mencapai organ otak kerana aku minat subjek neurologi sewaktu aku di tahun satu dahulu.
Namun, biasanya semasa proses dissection ini dibuat, hanya sedikit sahaja bahagian yang aku dapat potong dan belah, selebihnya PM Salman yang buat. Beliau sedikit perfectionist, apatah lagi saat berurusan dengan satu tubuh yang pernah menjadi manusia. Dissection perlu dilakukan dengan berhati-hati dan penuh teliti. Petang itu, aku tiba di bilik penyimpanan mayat.
Bau formaldehyde serta-merta menusuk hidung aku. Baunya sangat kuat, ibarat bau Clorox yang menusuk masuk ke saluran pernafasan aku walaupun aku dah pakai mask siap-siap. Di situ, pemakaian apron plastik diwajibkan kerana takut terpercik cecair dan bendalir yang berada di dalam badan mayat yang kebanyakannya sudah pun berusia 3 hingga 4 tahun ketika dissection dijalankan.
Untuk cecair tersebut, kalau terpercik dengan bau mayat secara langsung pada baju atau pun tangan, alamatnya, kau kena buangkan sahajalah pakaian yang terkena itu dan alau terkena di tangan, seminggulah kau kena makan guna sudu dan garpu.
Bau itu satu hal dan sebenarnya akan hilang dalam masa yang agak cepat, akan tetapi, otak kita seringkali menyangka bahawa bau cecair itu masih lagi berada di situ kerana kita tahu bahawa cecair tersebut datang daripada campuran cecair pengawet dan juga bendalir yang datang dari mayat.
PM Salman meminta aku untuk membantu memindahkan satu jasad di atas meja. Kadaver ini sebenarnya agak berat. Aku lihat, bahagian muka mayat tersebut dibaluti kain putih. Memang kesemua bahagian muka mayat-mayat di situ dibaluti kain putih.
Aku juga perasan bahawa bahagian badan mayat tersebut juga dipenuhi dengan tatu. Aku terus bertanya kepada PM Salman.
“Prof, body ni daripada mana actually?”
“Body ni daripada Pulau Pinang. Tak dituntut, jadi terus diserahkan kepada universiti selepas beberapa bulan”
“Oh, prof tahu cause of death dia?”
“Ni kes terjun jambatan Pulau-Pinang ni, punca kematiannya akibat sama ada impak yang kuat bila terhempas ke permukaan laut ataupun lemas”
Selepas itu, PM Salman mengarahkan aku membuka kain putih yang membaluti tubuh jenazah. Terketar-ketar juga aku buat. Walaupun ini dah kali ketiga aku membantu beliau, aku masih berasa takut kerana aku tidak pernah melihat dissection untuk bahagian kepala mayat.
Saat terlihat muka mayat tersebut setelah aku buka kain yang menutupi wajahnya, memang aku jadi sedikit cuak. Silap, bukan sedikit cuak, tetapi cuak nak mampus. Wajahnya mayat tersebut pucat lesi, sebelah matanya terbuka dan terjegil manakala sebelah lagi tertutup. Mulutnya sedikit terbuka dan menampakkan giginya yang berwarna kuning akibat pereputan walaupun terendam dalam cecair pengawet.
Selepas aku menyentuh sahaja bahagian kepala mayat tersebut, memang aku dapat rasakan sejuk benar kulitnya walaupun aku memakai sarung tangan getah.
Di dalam bilik tersebut sebenarnya, bukan mayat tu sahaja yang pucat lesi, aku pun sama. Melihatkan aku yang pucat dan terketar-ketar, beliau bertanya adakah aku okay ataupun tidak? Aku berdalih, mengatakan bahawa suhu bilik tersebut terlalu sejuk dan itulah yang membuatkan aku menggigil.
Dissection dimulakan. Dipotong perlahan-lahan di bahagian kulit kepala mayat itu. Aku lihat, tangan prof sungguh laju, sungguh pantas dan lancar, bagai melihat chef Gordon Ramsay memotong ayam.
Prof memberi aku peluang juga untuk memotong, dan membelah. Ditunjuknya aku di mana nak belah. Dia memerhatikan pergerakan aku macam burung helang untuk memastikan aku tidak silap mahupun membuat pergerakan yang kasar terhadap jenazah tersebut.
2 jam kemudian, bahagian otak dah dikeluarkan, dan direndam di dalam satu cecair di dalam bekas yang lain. Proses untuk mengeluarkan otak ini sebenarnya dimulakan dengan pemotongan di bahagian tempurung kepalanya menggunakan gergaji.
Gergaji tersebut agak kuat bunyinya, dan untuk pengetahuan anda semua, alat yang digunakan itu lebih kurang sama macam angle grinder. Sejam kemudian, semuanya selesai.
Aku mengucapkan terima kasih kepada prof atas segala ilmu yang dikongsikan bersama kepada aku. Seperti biasa, prof akan memesan;
“Ingat, lepas ni jangan balik bilik terus, pergi keluar makan dulu dan lewat sikit, baru balik bilik”
Memang itulah pesanan prof. Takut ada yang mengikut katanya. Aku berjalan keluar daripada kampus perubatan ke kedai makan yang terletak di seberang jalan hospital universiti tersebut, tetapi tiba-tiba perut aku memulas-mulas. Aku terus berlari ke hostel untuk ke tandas.
Habis sahaja menunaikan hajat, aku terus masuk ke dalam bilik aku. Di situlah kesalahan pertama yang aku lakukan di mana aku lupa apa yang dipesan oleh prof.
Aku tertidur akibat keletihan. Sebenarnya, hari tersebut merupakan cuti semester di universiti, namun, aku berasa malas untuk pulang ke kampung halamanku. Lagipun, aku nak sertai banyak aktiviti yang aku kira boleh menambah ilmu pengetahuanku dan aku manfaatkan masa untuk study juga.
Aku terganggu dan ternampak sesuatu yang buruk. Aku terbayang didatangi oleh satu lembaga yang mempunyai muka yang seiras dengan mayat yang aku belah dalam tidurku. Aku dapati dia berbaring di sebelah aku dan badannya dibaluti kain putih, macam pocong. Mukanya menyeringai sahaja memandang aku.
Aku terjaga daripada mainan tidur dan bingkas duduk. Ku lihat jam sudah pun menunjukkan pukul 6.45 petang. Bilik aku suram kerana waktu itu memang dah hampir senja. Lampu bilik pula tak aku buka sebelum aku tidur jam 4.00 petang tadi.
Aku segera memetik suis lampu dan ke tandas, untuk mandi dan berwuduk memandangkan aku masih lagi belum menunaikan solat Asar. Aku lihat, lampu tandas di hostel tersebut masih tidak terbuka lagi, maklumlah, biasanya jam 7.00 malam barulah semua lampu di desasiswa aku terbuka. Jadi, keadaan agak suram walaupun lampu di bahagian koridor itu sentiasa terbuka.
Aku membasuh muka tetapi, saat aku melihat cermin di tandas, aku perasan akan sekujur tubuh berdiri di belakangku. Aku terpaku. Cuak. Perasan juga aku rupa makhluk itu, yang serupa macam manusia. Namun aku tak dapat pastikan betul-betul sebab aku menoleh sepantas kilat. Itulah tindakan refleks aku.
Bila aku pusing ke belakang, tiada apa-apa. Saat itu, aku segera sempurnakan wuduk aku, dan terus berlari ke bilik untuk menunaikan solat asar. Pada tanggapan aku, itu semua hanyalah mainan perasaan aku sahaja.
Puas aku bacakan ayat Kursi, sampai 21 kali, maklumlah dah dua kali berturut-turut diganggu, walaupun satu dalam tidur dan satu lagi aku tak dapat betul-betul memastikan kewujudannya di tandas tadi.
Saat itu, sudahlah hanya tinggal aku seorang sahaja di asrama kerana teman-teman lain sudah pulang ke kampung halaman masing-masing, aku pula terpaksa melalui gangguan sebegini rupa. Aku cuak juga, takut sekiranya makhluk itu memunculkan dirinya lagi.
Aku berbaring di katil, menghadap dinding. Saat aku pusingkan badan sahaja ke kanan,
“Ya Allah!”, terpacul daripada mulutku apabila aku terlihat penampakkan sekujur tubuh yang betul-betul berdiri di sisi katil. Saat ku tenung mukanya, terus dia menyeringai sambil mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi pemotong elektrik yang digunakan sewaktu memotong tengkorak mayat tadi. Matanya sebelah terbelolok keluar, dan sebelah lagi tertutup separuh.
Aku tergamam. Aku tutup mataku dengan tangan, dan sekali lagi aku tersentak apabila kedengaran azan Subuh. Ternyata itu semua hanyalah mainan tidur. Akan tetapi, aku boleh rasakan seolah-olah perkara tersebut betul-betul terjadi.
Masuk hari ketiga, sememangnya hari yang agak menyeksakan untuk diriku. Tidur tak boleh,dan apabila bangun, dan berada di kawasan yang agak suram, ‘dia’ datang memunculkan dirinya lagi. Memang selalu aku terperasan di pandangan sisi mataku, kelibat orang melintas ke sana dan ke sini.
Ada sekali tu, apabila aku terlelap, aku rasa bahu kiri aku disentuh, dan kemudian mendengar bunyi nafas ibarat bunyi nafas anjing yang sedang bernafas sambil lidahnya yang terjelir itu. Sungguh menakutkan. Aku berjumpa dengan senior aku, dan mereka menyuruh aku berjumpa dengan pakar psychiatrist. Aku tak mahu memberitahu Prof Salman mengenai perkara ini, maklumlah, aku baru sahaja melanggar apa yang disuruhnya.
Aku berjumpa terus dengan salah seorang psychiatrist, merangkap pensyarah aku, Dr Hanim (bukan nama sebenar). Aku ceritakan segalanya kepada Dr Hanim mengenai keadaan aku. DIagnosis Acute Stress Reaction dibuat, dan aku diberi 2 jenis ubat.
Pulang ke asrama, aku makan ubat tersebut. Memang agak mengantuk kerana ubat tersebut berfungsi untuk meredakan pemikiran yang resah gelisah berterusan. Petang itu, aku ingin mandi dan bersedia untuk solat Asar. Aku masuk ke bilik air, membawa tuala dan sabun. Sedang aku mandi, sekali lagi aku rasa bahu kiri aku dipegang. Cepat aku menoleh, tetapi tiada apa-apa.
Aku balik ke bilik setelah aku mandi cepat-cepat, dan solat Asar. Kesan ubat yang diberikan menyebabkan aku terlelap, dan sekali lagi aku ternampak satu lembaga lelaki dengan badan penuh bertatu betul-betul berdiri di sebelah katil aku.
Aku hanya mampu menatap mukanya yang pucat, dan mata yang sebelah terbuka dan sebelah tertutup sambil mulutnya yang terbuka menampakkan giginya yang berkarat. Aku tak boleh bergerak, dan tak boleh buat apa-apa. Aku lihat dia menghampiri telinga ku, dan bunyi nafas sama macam sebelum ni, nafas anjing semakin lama semakin kuat.
Aku dapat rasakan nafasnya yang suam itu di telinga ku. Tetapi aku tergamam dan tak mampu bergerak.
“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”
Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku. Sekali lagi aku bermimpi perkara yang seakan-akan sama temanya, mayat. Sepanjang malam aku tak tidur, dan apabila otak aku terlalu letih akibat tak habis-habis diganggu aku rasa sudah cukup. Aku dah tak tertahan dan segera aku menelefon Prof Salman pagi itu.
“Boleh awak datang ke rumah saya?”, katanya setelah aku menerangkan gangguan tersebut. Aku menjawab boleh.
Satu per satu peristiwa yang berlaku aku ceritakan. Walaupun pada asalnya aku cuba berdalih, menyatakan bahawa aku tidak terus pulang ke bilik, tetapi akhirnya aku mengaku juga. Dan memandangkan aku memandu sebuah kereta di sini, tiada masalah untuk aku ke rumahnya yang terletak lebih kurang 3 kilometer daripada universiti tersebut.
Setiba aku di rumahnya, aku lihat dia masih bercakap-cakap di telefon. Saat dia meletakkan sahaja panggilan tersebut, terus dia kata dengan aku
“Don’t worry, saya dah call ustaz”, katanya sambil tersenyum.
Isterinya ke ruang tamu menghidangkan aku secawan kopi.
“Kenapa teruk sangat saya kena kacau prof?”, aku bertanya
“La, inilah orang panggil badi mayat. Sebenarnya lebih kepada psikologi awak, tetapi ada juga kadangkala yang memang benda tu ikut awak sampai ke bilik, dan nak menetap bersama awak. Maklumlah dah lama dia menumpang di bilik mayat tu sahaja”, katanya.
Cuak juga aku dengar. Memang aku pernah mendengar orang membicarakan mengenai badi mayat, tetapi aku tak sangka sampai begitu sekali kesannya pada diri aku.
“So, what if benda tu ikut saya balik prof? Ubat hospital nampak macam tak membantu sangat”, tanya aku
“Ha, kat sinilah datangnya peranan ustaz tu. Macam ni, awak biar dia tengokkan awak dulu dan ubat hospital tu awak makan juga. Sebab tahun lepas, ada salah seorang pelajar master anatomy ni pun jadi macam tu lepas dissect satu kadaver”, katanya.
“Oh, pernah terjadi ke sebelum ni?”, aku bertanya hendakkan kepastian.
“Ya, pernah. Selalu sebenarnya, daripada situlah saya kenal ustaz ni, sebab kadangkala walaupun ikut apa yang kita belajar kan, masalah ni macam ala-ala Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) atau Acute Stress Reaction, tapi ada juga yang bukan”, kata Prof Salman sambil menghirup kopi, sama seperti apa yang diberitahu oleh pakar psychiatrist yang aku jumpa.
“Macam mana kita nak tahu masalah ni nak kena treat dengan psychiatrist atau kena treat dengan ustaz?”, aku bertanya lagi.
“Hmm, itu susah sikit. Biasanya saya akan suruh orang yang kena ni jumpa psychiatrist. Kalau lepas dah makan ubat pun masih tak henti-henti lagi gangguan, masa itulah saya akan syorkan jumpa ustaz ni. Jadi, alang-alang awak dah beritahu saya, bagus lagi kalau jumpa ustaz ni dulu”, jawabnya.
Aku mendiamkan diri, berasa bersalah juga, masakan tidak, ini semua gara-gara perbuatan aku yang tidak mengikut cakapnya. Tapi apa sekalipun, aku memerlukan rawatan.
40 minit kemudian, seorang lelaki berambut putih, berkopiah dan berjubah tiba di perkarangan rumah Prof Salman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Sulaiman (bukan nama sebenar).
Setelah diceritakan apa yang berlaku terhadap aku, ustaz Sulaiman memberi aku segelas air iaitu air Yassin. Setelah soalan demi soalan ditanyakan kepadaku, dia membaca sesuatu. Terkumat-kamit mulutnya, dan aku dapat menangkap juga beberapa bacaan daripada surah Yassin dan Surah Al-Falaq.
Kemudian dia diam sahaja. Memandang aku tanpa membuat apa-apa. 5 minit juga. Aku rasa mungkin dia ingin men’diagnos’ aku semasa itu. Kemudiannya dia tersenyum, seraya berkata,
“Apa saya nak pesan, macam ni, satu, jangan sekali-kali tidur di waktu selepas Asar, beberapa minit sebelum Subuh dan waktu di antara Maghrib dan Isya’. Sewaktu itu, badan kita berada di dalam keadaan yang tersangat lemah”
Aku mengangguk. Memang aku pun pernah mendengar orang memesan supaya jangan tidur pada waktu-waktu sedemikian. Even Rasulullah pun ada memesan, ada waktu-waktu yang tak digalakkan untuk tidur. Dia kemudiannya menyambung,
“Dan yang kedua, ingat, baca Ayat Kursi tiga kali, 3 Qul dan doa tidur sebelum tidur. Jangan lupa untuk ambil wuduk juga. Sebabnya, kalau gangguan nak terjadi, biasanya akan berlaku pada waktu kita sedang tidur. Jadi lepas saya lihat awak ni, insha Allah tiada yang bukan-bukan mengikut awak balik, mungkin semuanya mainan perasaan. Cuma ingat, kalau ada gangguan-gangguan lagi, awak boleh hubungi saya semula”.
“Ubat yang psychiatrist tu bagi macam mana ustaz? Nak teruskan makan ke?”, tanyaku.
“Ya, sudah tentu, kita ikhtiar dua-dua cara sekali, Insha Allah boleh”, katanya
Pulang sahaja ke asrama, aku mula membaca Al-Quran semula. Maklumlah, dah lama aku tak menyentuh kitab suci itu, dan aku selalu pastikan diri aku untuk mengikuti nasihat-nasihat yang diberikan oleh Ustaz Sulaiman. Ubat yang diberikan oleh Dr Hanim juga aku makan seperti biasa.
Alhamdulillah, ternyata gangguan-gangguan sedemikian tidaklah hilang sepenuhnya, tetapi berkurangan sedikit demi sedikit. Dan akhirnya, selepas 2 minggu, tiada lagi penampakkan mahupun bayangan-bayangan yang mengerikan menghantui aku lagi.
Sewaktu aku datang untuk follow-up dengan Dr Hanim, dia juga menghentikan ubat-ubatan aku secara perlahan-lahan, sehinggalah selepas 1 bulan setengah, aku tak memerlukan lagi ubat-ubatan itu.
Memang sebagai seorang pelajar perubatan, atau ahli sains, kita akan menganggap perkara-perkara sebegini berlaku kesan daripada keadaan mental kita yang terkejut tatkala terlihat sesuatu yang mengerikan, seperti mayat, kemalangan, peperangan atau kematian. Penyakit ini yang kita gelar sebagai PTSD.
Namun, sebagai umat Islam, kita perlu mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk yang kita tak dapat lihat dengan mata kasar, atau tak dapat diterangkan melalui logik akal dan sains.
Itulah sebabnya walaupun seseorang itu yang telah pun bergelar professor, atau berada di jawatan yang tinggi dengan pengalaman berpuluh tahun sebagai pakar anatomi ataupun forensik, mereka masih mempercayai bahawa memang ada ketika yang mana ‘benda-benda’ tersebut boleh mengikut kita balik, dan itulah sebabnya mengapa mereka akan sentiasa berpesan untuk tidak pulang terus ke bilik atau rumah, selesai sahaja menguruskan mayat.
Wallahu’alam
TAMAT