Sabtu, 19 Disember 2020

Badi Mayat


Menjadi seorang pelajar perubatan, memang salah satu subtopik yang perlu dipelajari adalah anatomi, iaitu mempelajari struktur tubuh badan manusia. Daripada sekecil-kecil saraf, sehinggalah sebesar-besar tulang-temulang, jantung, otak dan paru-paru.

Kes ini berlaku sewaktu pembelajaran aku di sebuah universiti pada tahun 2007. Ijazah yang aku ambil ini bakal mendapatkan aku kelulusan Medical Doctor atau MD yang mana mempunyai sedikit (insignificant) kelainan berbanding dengan ijazah MBBS. Perbezaan ini juga adalah berdasarkan negara di mana terletaknya universiti tersebut.

Oleh yang sedemikian, pembelajaran mengenai anatomi ini agak terhad daripada segi praktikal yang mana aku tiada peluang untuk membelah kadaver (mayat), atau dikenali sebagai dissection. Pengajian MD ini lebih kepada menumpu kepada penyakit yang berkaitan perubatan, bukan pembedahan.

Aku baik dengan Professor Madya Salman (PM Salman - Bukan nama sebenar), iaitu seorang pensyarah di jabatan anatomi sewaktu aku berada di tahun satu di universiti tersebut.

Oleh itu, sekiranya ada masa untuk beliau dissect kadaver untuk tujuan pembelajaran khususnya kepada pelajar-pelajar yang menyambung pembelajaran dalam bidang Anatomy (Master), beliau akan membuat panggilan telefon kepada aku untuk menyertainya sebagai seorang penolong.

Terdapat satu ruangan simpanan di belakang Muzium Anatomi di universiti tersebut yang menempatkan mayat yang didapati sama ada dengan pendermaan ataupun mana-mana jenazah yang tidak dituntut.

Tempat simpanan mayat ini tidak sama dengan tempat simpanan mayat yang bakal dibuat autopsi seperti yang berada di dalam jabatan forensik di hospital-hospital kerajaan. Aku tahu, ramai menyangka bahawa mayat-mayat ini disimpan dalam laci seperti yang ditunjukkan di dalam filem-filem mat Salleh.

Perbezaannya di sini adalah tempat penyimpanan mayat di hospital untuk tujuan autopsi memerlukan preservation yang agak singkat kerana kebanyakan mayat ini perlu diketahui punca sebenar kematiannya, terutama sekali yang berkait rapat dengan jenayah. Sudah tentu kes polis memerlukan masa yang pantas untuk memastikan sama ada mayat tersebut dibunuh atau sebaliknya. 

Laci yang menempatkan mayat ini sebenarnya adalah sebuah peti sejuk untuk yang diubahsuai. Suhu yang rendah ini dapat merencatkan proses pereputan mayat.

Untuk mayat yang disimpan bagi tujuan dissection yang mana selalunya berada di hospital universiti pula, tempat penyimpanan mayat ini berbentuk seakan-akan tab mandi. Mayat-mayat yang berada di sini disusun di dalam posisi berlawanan antara satu sama lain. Maksud aku, untuk mayat di bawah, kakinya berada di kepala mayat di atasnya, dan kepala mayat yang berada di atasnya pula terletak di bahagian kaki mayat di bawahnya.

Selalunya, terdapat 3 hingga 4 mayat di dalam satu tab dan terendam di dalam larutan formaldehyde dan chloral hydrate, iaitu larutan yang digunakan untuk tujuan pengawetan dan melambatkan proses pereputan. Susunan bertimpa-timpa antara satu sama lain ini bukanlah satu bentuk penghinaan kepada mayat-mayat tersebut, tetapi lebih kepada penjimatan ruang semaksimum yang mungkin dan menjimatkan kos bahan pengawet.

Aku tahu, untuk mayat yang tak dituntut dan disimpan melebihi 14 hari di sesebuah hospital dan bukan beragama Islam, ianya akan diserahkan ke pihak universiti untuk tujuan akademik. Itulah prosedurnya untuk mendapatkan mayat mengikuti garis panduan (SOP) yang dibuat oleh kementerian kesihatan. 

Mayat-mayat yang tidak dituntut ini ni bukan semuanya berasal daripada Malaysia. Tak silap aku, PM Salman mengatakan ada juga beberapa mayat yang berasal daripada negara lain seperti India, Pakistan, Indonesia dan negara-negara jiran yang lain serta diketahui sebagai bukan beragama islam.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, PM Salman menghantar SMS kepada aku dan mengatakan bahawa beliau memulakan prosedur dissection untuk salah satu satu mayat pada petang hari tersebut. Aku seperti biasa, agak teruja, ditambah lagi apabila beliau mengatakan bahagian yang ingin dipotong itu adalah bahagian kepala untuk mencapai organ otak kerana aku minat subjek neurologi sewaktu aku di tahun satu dahulu.

Namun, biasanya semasa proses dissection ini dibuat, hanya sedikit sahaja bahagian yang aku dapat potong dan belah, selebihnya PM Salman yang buat. Beliau sedikit perfectionist, apatah lagi saat berurusan dengan satu tubuh yang pernah menjadi manusia. Dissection perlu dilakukan dengan berhati-hati dan penuh teliti. Petang itu, aku tiba di bilik penyimpanan mayat.

Bau formaldehyde serta-merta menusuk hidung aku. Baunya sangat kuat, ibarat bau Clorox yang menusuk masuk ke saluran pernafasan aku walaupun aku dah pakai mask siap-siap. Di situ, pemakaian apron plastik diwajibkan kerana takut terpercik cecair dan bendalir yang berada di dalam badan mayat yang kebanyakannya sudah pun berusia 3 hingga 4 tahun ketika dissection dijalankan.

Untuk cecair tersebut, kalau terpercik dengan bau mayat secara langsung pada baju atau pun tangan, alamatnya, kau kena buangkan sahajalah pakaian yang terkena itu dan alau terkena di tangan, seminggulah kau kena makan guna sudu dan garpu.

Bau itu satu hal dan sebenarnya akan hilang dalam masa yang agak cepat, akan tetapi, otak kita seringkali menyangka bahawa bau cecair itu masih lagi berada di situ kerana kita tahu bahawa cecair tersebut datang daripada campuran cecair pengawet dan juga bendalir yang datang dari mayat.

PM Salman meminta aku untuk membantu memindahkan satu jasad di atas meja. Kadaver ini sebenarnya agak berat. Aku lihat, bahagian muka mayat tersebut dibaluti kain putih. Memang kesemua bahagian muka mayat-mayat di situ dibaluti kain putih.

Aku juga perasan bahawa bahagian badan mayat tersebut juga dipenuhi dengan tatu. Aku terus bertanya kepada PM Salman.

“Prof, body ni daripada mana actually?”

“Body ni daripada Pulau Pinang. Tak dituntut, jadi terus diserahkan kepada universiti selepas beberapa bulan”

“Oh, prof tahu cause of death dia?”

“Ni kes terjun jambatan Pulau-Pinang ni, punca kematiannya akibat sama ada impak yang kuat bila terhempas ke permukaan laut ataupun lemas”

Selepas itu, PM Salman mengarahkan aku membuka kain putih yang membaluti tubuh jenazah. Terketar-ketar juga aku buat. Walaupun ini dah kali ketiga aku membantu beliau, aku masih berasa takut kerana aku tidak pernah melihat dissection untuk bahagian kepala mayat.

Saat terlihat muka mayat tersebut setelah aku buka kain yang menutupi wajahnya, memang aku jadi sedikit cuak. Silap, bukan sedikit cuak, tetapi cuak nak mampus. Wajahnya mayat tersebut pucat lesi, sebelah matanya terbuka dan terjegil manakala sebelah lagi tertutup. Mulutnya sedikit terbuka dan menampakkan giginya yang berwarna kuning akibat pereputan walaupun terendam dalam cecair pengawet.

Selepas aku menyentuh sahaja bahagian kepala mayat tersebut, memang aku dapat rasakan sejuk benar kulitnya walaupun aku memakai sarung tangan getah. 

Di dalam bilik tersebut sebenarnya, bukan mayat tu sahaja yang pucat lesi, aku pun sama. Melihatkan aku yang pucat dan terketar-ketar, beliau bertanya adakah aku okay ataupun tidak? Aku berdalih, mengatakan bahawa suhu bilik tersebut terlalu sejuk dan itulah yang membuatkan aku menggigil.

Dissection dimulakan. Dipotong perlahan-lahan di bahagian kulit kepala mayat itu. Aku lihat, tangan prof sungguh laju, sungguh pantas dan lancar, bagai melihat chef Gordon Ramsay memotong ayam. 

Prof memberi aku peluang juga untuk memotong, dan membelah. Ditunjuknya aku di mana nak belah. Dia memerhatikan pergerakan aku macam burung helang untuk memastikan aku tidak silap mahupun membuat pergerakan yang kasar terhadap jenazah tersebut.

2 jam kemudian, bahagian otak dah dikeluarkan, dan direndam di dalam satu cecair di dalam bekas yang lain. Proses untuk mengeluarkan otak ini sebenarnya dimulakan dengan pemotongan di bahagian tempurung kepalanya menggunakan gergaji.

Gergaji tersebut agak kuat bunyinya, dan untuk pengetahuan anda semua, alat yang digunakan itu lebih kurang sama macam angle grinder. Sejam kemudian, semuanya selesai.

Aku mengucapkan terima kasih kepada prof atas segala ilmu yang dikongsikan bersama kepada aku. Seperti biasa, prof akan memesan;

“Ingat, lepas ni jangan balik bilik terus, pergi keluar makan dulu dan lewat sikit, baru balik bilik”

Memang itulah pesanan prof. Takut ada yang mengikut katanya. Aku berjalan keluar daripada kampus perubatan ke kedai makan yang terletak di seberang jalan hospital universiti tersebut, tetapi tiba-tiba perut aku memulas-mulas. Aku terus berlari ke hostel untuk ke tandas.

Habis sahaja menunaikan hajat, aku terus masuk ke dalam bilik aku. Di situlah kesalahan pertama yang aku lakukan di mana aku lupa apa yang dipesan oleh prof.

Aku tertidur akibat keletihan. Sebenarnya, hari tersebut merupakan cuti semester di universiti, namun, aku berasa malas untuk pulang ke kampung halamanku. Lagipun, aku nak sertai banyak aktiviti yang aku kira boleh menambah ilmu pengetahuanku dan aku manfaatkan masa untuk study juga.

Aku terganggu dan ternampak sesuatu yang buruk. Aku terbayang didatangi oleh satu lembaga yang mempunyai muka yang seiras dengan mayat yang aku belah dalam tidurku. Aku dapati dia berbaring di sebelah aku dan badannya dibaluti kain putih, macam pocong. Mukanya menyeringai sahaja memandang aku.

Aku terjaga daripada mainan tidur dan bingkas duduk. Ku lihat jam sudah pun menunjukkan pukul 6.45 petang. Bilik aku suram kerana waktu itu memang dah hampir senja. Lampu bilik pula tak aku buka sebelum aku tidur jam 4.00 petang tadi.

Aku segera memetik suis lampu dan ke tandas, untuk mandi dan berwuduk memandangkan aku masih lagi belum menunaikan solat Asar. Aku lihat, lampu tandas di hostel tersebut masih tidak terbuka lagi, maklumlah, biasanya jam 7.00 malam barulah semua lampu di desasiswa aku terbuka. Jadi, keadaan agak suram walaupun lampu di bahagian koridor itu sentiasa terbuka.

Aku membasuh muka tetapi, saat aku melihat cermin di tandas, aku perasan akan sekujur tubuh berdiri di belakangku. Aku terpaku. Cuak. Perasan juga aku rupa makhluk itu, yang serupa macam manusia. Namun aku tak dapat pastikan betul-betul sebab aku menoleh sepantas kilat. Itulah tindakan refleks aku.

Bila aku pusing ke belakang, tiada apa-apa. Saat itu, aku segera sempurnakan wuduk aku, dan terus berlari ke bilik untuk menunaikan solat asar. Pada tanggapan aku, itu semua hanyalah mainan perasaan aku sahaja. 

Puas aku bacakan ayat Kursi, sampai 21 kali, maklumlah dah dua kali berturut-turut diganggu, walaupun satu dalam tidur dan satu lagi aku tak dapat betul-betul memastikan kewujudannya di tandas tadi.

Saat itu, sudahlah hanya tinggal aku seorang sahaja di asrama kerana teman-teman lain sudah pulang ke kampung halaman masing-masing, aku pula terpaksa melalui gangguan sebegini rupa. Aku cuak juga, takut sekiranya makhluk itu memunculkan dirinya lagi.

Aku berbaring di katil, menghadap dinding. Saat aku pusingkan badan sahaja ke kanan,

“Ya Allah!”, terpacul daripada mulutku apabila aku terlihat penampakkan sekujur tubuh yang betul-betul berdiri di sisi katil. Saat ku tenung mukanya, terus dia menyeringai sambil mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi pemotong elektrik yang digunakan sewaktu memotong tengkorak mayat tadi. Matanya sebelah terbelolok keluar, dan sebelah lagi tertutup separuh.

Aku tergamam. Aku tutup mataku dengan tangan, dan sekali lagi aku tersentak apabila kedengaran azan Subuh. Ternyata itu semua hanyalah mainan tidur. Akan tetapi, aku boleh rasakan seolah-olah perkara tersebut betul-betul terjadi.

Masuk hari ketiga, sememangnya hari yang agak menyeksakan untuk diriku. Tidur tak boleh,dan apabila bangun, dan berada di kawasan yang agak suram, ‘dia’ datang memunculkan dirinya lagi. Memang selalu aku terperasan di pandangan sisi mataku, kelibat orang melintas ke sana dan ke sini.

Ada sekali tu, apabila aku terlelap, aku rasa bahu kiri aku disentuh, dan kemudian mendengar bunyi nafas ibarat bunyi nafas anjing yang sedang bernafas sambil lidahnya yang terjelir itu. Sungguh menakutkan. Aku berjumpa dengan senior aku, dan mereka menyuruh aku berjumpa dengan pakar psychiatrist. Aku tak mahu memberitahu Prof Salman mengenai perkara ini, maklumlah, aku baru sahaja melanggar apa yang disuruhnya.

Aku berjumpa terus dengan salah seorang psychiatrist, merangkap pensyarah aku, Dr Hanim (bukan nama sebenar). Aku ceritakan segalanya kepada Dr Hanim mengenai keadaan aku. DIagnosis Acute Stress Reaction dibuat, dan aku diberi 2 jenis ubat.

Pulang ke asrama, aku makan ubat tersebut. Memang agak mengantuk kerana ubat tersebut berfungsi untuk meredakan pemikiran yang resah gelisah berterusan. Petang itu, aku ingin mandi dan bersedia untuk solat Asar. Aku masuk ke bilik air, membawa tuala dan sabun. Sedang aku mandi, sekali lagi aku rasa bahu kiri aku dipegang. Cepat aku menoleh, tetapi tiada apa-apa.

Aku balik ke bilik setelah aku mandi cepat-cepat, dan solat Asar. Kesan ubat yang diberikan menyebabkan aku terlelap, dan sekali lagi aku ternampak satu lembaga lelaki dengan badan penuh bertatu betul-betul berdiri di sebelah katil aku.

Aku hanya mampu menatap mukanya yang pucat, dan mata yang sebelah terbuka dan sebelah tertutup sambil mulutnya yang terbuka menampakkan giginya yang berkarat. Aku tak boleh bergerak, dan tak boleh buat apa-apa. Aku lihat dia menghampiri telinga ku, dan bunyi nafas sama macam sebelum ni, nafas anjing semakin lama semakin kuat.

Aku dapat rasakan nafasnya yang suam itu di telinga ku. Tetapi aku tergamam dan tak mampu bergerak.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku. Sekali lagi aku bermimpi perkara yang seakan-akan sama temanya, mayat. Sepanjang malam aku tak tidur, dan apabila otak aku terlalu letih akibat tak habis-habis diganggu aku rasa sudah cukup. Aku dah tak tertahan dan segera aku menelefon Prof Salman pagi itu.

“Boleh awak datang ke rumah saya?”, katanya setelah aku menerangkan gangguan tersebut. Aku menjawab boleh.

Satu per satu peristiwa yang berlaku aku ceritakan. Walaupun pada asalnya aku cuba berdalih, menyatakan bahawa aku tidak terus pulang ke bilik, tetapi akhirnya aku mengaku juga. Dan memandangkan aku memandu sebuah kereta di sini, tiada masalah untuk aku ke rumahnya yang terletak lebih kurang 3 kilometer daripada universiti tersebut.

Setiba aku di rumahnya, aku lihat dia masih bercakap-cakap di telefon. Saat dia meletakkan sahaja panggilan tersebut, terus dia kata dengan aku

“Don’t worry, saya dah call ustaz”, katanya sambil tersenyum.

Isterinya ke ruang tamu menghidangkan aku secawan kopi.

“Kenapa teruk sangat saya kena kacau prof?”, aku bertanya

“La, inilah orang panggil badi mayat. Sebenarnya lebih kepada psikologi awak, tetapi ada juga kadangkala yang memang benda tu ikut awak sampai ke bilik, dan nak menetap bersama awak. Maklumlah dah lama dia menumpang di bilik mayat tu sahaja”, katanya.

Cuak juga aku dengar. Memang aku pernah mendengar orang membicarakan mengenai badi mayat, tetapi aku tak sangka sampai begitu sekali kesannya pada diri aku.

“So, what if benda tu ikut saya balik prof? Ubat hospital nampak macam tak membantu sangat”, tanya aku

“Ha, kat sinilah datangnya peranan ustaz tu. Macam ni, awak biar dia tengokkan awak dulu dan ubat hospital tu awak makan juga. Sebab tahun lepas, ada salah seorang pelajar master anatomy ni pun jadi macam tu lepas dissect satu kadaver”, katanya.

“Oh, pernah terjadi ke sebelum ni?”, aku bertanya hendakkan kepastian.

“Ya, pernah. Selalu sebenarnya, daripada situlah saya kenal ustaz ni, sebab kadangkala walaupun ikut apa yang kita belajar kan, masalah ni macam ala-ala Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) atau Acute Stress Reaction, tapi ada juga yang bukan”, kata Prof Salman sambil menghirup kopi, sama seperti apa yang diberitahu oleh pakar psychiatrist yang aku jumpa.

“Macam mana kita nak tahu masalah ni nak kena treat dengan psychiatrist atau kena treat dengan ustaz?”, aku bertanya lagi.

“Hmm, itu susah sikit. Biasanya saya akan suruh orang yang kena ni jumpa psychiatrist. Kalau lepas dah makan ubat pun masih tak henti-henti lagi gangguan, masa itulah saya akan syorkan jumpa ustaz ni. Jadi, alang-alang awak dah beritahu saya, bagus lagi kalau jumpa ustaz ni dulu”, jawabnya.

Aku mendiamkan diri, berasa bersalah juga, masakan tidak, ini semua gara-gara perbuatan aku yang tidak mengikut cakapnya. Tapi apa sekalipun, aku memerlukan rawatan.

40 minit kemudian, seorang lelaki berambut putih, berkopiah dan berjubah tiba di perkarangan rumah Prof Salman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Sulaiman (bukan nama sebenar).

Setelah diceritakan apa yang berlaku terhadap aku, ustaz Sulaiman memberi aku segelas air iaitu air Yassin. Setelah soalan demi soalan ditanyakan kepadaku, dia membaca sesuatu. Terkumat-kamit mulutnya, dan aku dapat menangkap juga beberapa bacaan daripada surah Yassin dan Surah Al-Falaq.

Kemudian dia diam sahaja. Memandang aku tanpa membuat apa-apa. 5 minit juga. Aku rasa mungkin dia ingin men’diagnos’ aku semasa itu. Kemudiannya dia tersenyum, seraya berkata,

“Apa saya nak pesan, macam ni, satu, jangan sekali-kali tidur di waktu selepas Asar, beberapa minit sebelum Subuh dan waktu di antara Maghrib dan Isya’. Sewaktu itu, badan kita berada di dalam keadaan yang tersangat lemah”

Aku mengangguk. Memang aku pun pernah mendengar orang memesan supaya jangan tidur pada waktu-waktu sedemikian. Even Rasulullah pun ada memesan, ada waktu-waktu yang tak digalakkan untuk tidur. Dia kemudiannya menyambung,

“Dan yang kedua, ingat, baca Ayat Kursi tiga kali, 3 Qul dan doa tidur sebelum tidur. Jangan lupa untuk ambil wuduk juga. Sebabnya, kalau gangguan nak terjadi, biasanya akan berlaku pada waktu kita sedang tidur. Jadi lepas saya lihat awak ni, insha Allah tiada yang bukan-bukan mengikut awak balik, mungkin semuanya mainan perasaan. Cuma ingat, kalau ada gangguan-gangguan lagi, awak boleh hubungi saya semula”.

“Ubat yang psychiatrist tu bagi macam mana ustaz? Nak teruskan makan ke?”, tanyaku.

“Ya, sudah tentu, kita ikhtiar dua-dua cara sekali, Insha Allah boleh”, katanya

Pulang sahaja ke asrama, aku mula membaca Al-Quran semula. Maklumlah, dah lama aku tak menyentuh kitab suci itu, dan aku selalu pastikan diri aku untuk mengikuti nasihat-nasihat yang diberikan oleh Ustaz Sulaiman. Ubat yang diberikan oleh Dr Hanim juga aku makan seperti biasa.

Alhamdulillah, ternyata gangguan-gangguan sedemikian tidaklah hilang sepenuhnya, tetapi berkurangan sedikit demi sedikit. Dan akhirnya, selepas 2 minggu, tiada lagi penampakkan mahupun bayangan-bayangan yang mengerikan menghantui aku lagi. 

Sewaktu aku datang untuk follow-up dengan Dr Hanim, dia juga menghentikan ubat-ubatan aku secara perlahan-lahan, sehinggalah selepas 1 bulan setengah, aku tak memerlukan lagi ubat-ubatan itu.

Memang sebagai seorang pelajar perubatan, atau ahli sains, kita akan menganggap perkara-perkara sebegini berlaku kesan daripada keadaan mental kita yang terkejut tatkala terlihat sesuatu yang mengerikan, seperti mayat, kemalangan, peperangan atau kematian. Penyakit ini yang kita gelar sebagai PTSD.

Namun, sebagai umat Islam, kita perlu mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk yang kita tak dapat lihat dengan mata kasar, atau tak dapat diterangkan melalui logik akal dan sains.

Itulah sebabnya walaupun seseorang itu yang telah pun bergelar professor, atau berada di jawatan yang tinggi dengan pengalaman berpuluh tahun sebagai pakar anatomi ataupun forensik, mereka masih mempercayai bahawa memang ada ketika yang mana ‘benda-benda’ tersebut boleh mengikut kita balik, dan itulah sebabnya mengapa mereka akan sentiasa berpesan untuk tidak pulang terus ke bilik atau rumah, selesai sahaja menguruskan mayat.

Wallahu’alam

TAMAT

Ahad, 13 Disember 2020

Ditemani Bunian


“Satu untuk awak...satu untuk Zara...ok dah jom main.” kata Zara kepada kawannya itu.

Suraya yang berada didapur hanya mendengar saja celoteh anaknya bermain. Sesekali dia menjenguk ke pangkin tempat Zara bermain bimbang anaknya bermain jauh dari rumah.

“Eh awak mana boleh ambil Zara punya..itu Zara punya..kan Zara dah bagi awak satu tadi ? Bagi balik cepat !”. marah Zara pada kawannya.

Suraya yang mendengar seperti perbalahan itu segera pergi ke arah tempat Zara bermain. Sesampai saja di sana dia berasa hairan. Dengan siapa Zara bercakap. Dia melihat hanya Zara saja yang ada di situ.

“Sayang...kenapa ni marah-marah ? Zara marahkan siapa ?”. tanya Suraya lembut sambil mengusap rambut anaknya yang berusia 8 tahun itu.

“Kawan Zara umi...Zara dah bagi dia satu baju anak patung ni..tapi dia ambil Zara punya juga.” jawab Zara sambil tangan lincah memakaikan baju untuk patung barbie doll hadiah dari ayahnya.

“Kawan ? Mana kawan Zara tu ? Dah balik ke ?”. Suraya menyoal lagi.

“Ada ni...ada kat depan kita ni umi.” kata Zara sambil menunjuk kan tempat kawannya duduk.

Berderau darah Suraya ketika itu. Dia memandang kiri dan kanan, tidak melihat sesiapa pun melainkan hanya Zara seorang ketika itu. Cepat-cepat dia mengemaskan permainan anaknya dah menyuruh anaknya bermain di dalam rumah. Petang semakin hampir ke senja.

“Dah nak senja ni sayang...jom kita masuk...nanti main lagi ya.” pujuk Suraya.

“Ok umi...umi masuk dulu nanti Zara datang.” kata Zara sambil mengambil barang-barang mainannya dan sempat berbisik pada kawannya.

“Esok awak datang main dengan Zara lagi ya...Zara tunggu kat sini macam biasa.” kata Zara sambil bangun dari duduknya.

Suraya yang baru melangkah ke dapur menoleh ke arah Zara. Dia melihat Zara seperti sedang berbisik dengan seseorang sambil tersenyum. Telan air liur Suraya dibuatnya.

“Cepat sayang...umi tunggu ni.” cepat-cepat Suraya memanggil Zara.

“Iye umi...datang ni..bye awak.” berlari Zara ke arah Suraya sambil tangan melambai-lambai pada kawannya itu.

“Ok dah tu...Zara pergi mandi...nanti umi siapkan milo untuk Zara ya.”

“Yeayyy...miloo.” sorak Zara keriangan. Mana taknya air milo kegemaran dia.

Suraya hanya tersenyum melihat gelagat anak bungsunya itu. Tetapi di benak fikirannya masih memikirkan hal tadi. Kerisauan melanda dirinya.

Malam itu Suraya menikmati makan malam bersama suami tercinta Azman berserta anak-anaknya Zura, Zaidi dan Zara. Dia ingin menyuarakan kepada suaminya akan kejadian siang tadi. Tetapi mulutnya seakan berat untuk meluahkan. Dipendamkan saja.

**********

Keesokkan hari sedang Suraya menyiapkan untuk makan tengahari, seperti biasa Zara akan bermain di atas pangkin. Nampak seronok dia bermain patung kesayangannya. Tiba-tiba dia terdengar Zara seperti sedang bercakap dengan seseorang tapi tak kelihatan. Abang dan kakak Zara masing-masing sudah ke sekolah kerana ada kelas tambahan. Tinggallah Zara seorang dirumah.

“Lambatnya awak datang...Zara dah tunggu lama tau.” Zara berkata seakan merajuk.

“Mana ada merajuk la...Ok jom la kita main...tapi awak kene janji jangan nak ambil Zara punya lagi...kalau tak Zara tak nak kawan dengan awak dah.”

Suraya yang mendengar perbualan itu terus memanggil Zara masuk.

“Zara...umi dah siap masak ni...jom makan.” Suraya memanggil anaknya.

“Baik umi.” balas Zara kepada Suraya.

“Awak...umi panggil makan lah...jom kita makan dulu...nanti kita sambung main lagi.”

“Umi tak marah lah...ok awak nyorok belakang Zara.” arah Zara kepada kawannya itu.

Zara dan kawannya pun pergi ke arah dapur. Tersenyum-senyum dia kepada Suraya. Pelik Suraya ketika itu. Zara mengarahkan kawannya itu supaya duduk disebelahnya hanya menggunakan bahasa isyarat. Sedang Suraya menyediakan makanan, air di sebelah Zara tertumpah. Terbeliak mata Zara memarahi kawannya kerana menumpahkan air.

“Allah...macam mana boleh tumpah ni Zara ?” tanya Suraya.

“Kenapa awak tumpahkan ? Ni umi...kawan Zara tumpahkan air...dia tak sengaja.” kata Zara sambil menunjukkan kerusi sebelah.

Sekali lagi berderau darah Suraya. Suraya melihat ke arah kerusi yang ditunjukkan Zara. Ternyata tiada sesiapa disitu. Dia membiarkan sahaja keadaan itu sehingga mereka selesai makan. Terasa nasi yang dikunyah seakan sukar ditelan.

Usai menunaikan solat maghrib Suraya memanggil Zara duduk dekatnya. Dia ingin bertanya tentang siapakah ‘kawan’ yang dimaksudkan anaknya itu.

“Zara...umi nak tanya...siapa nama kawan Zara tu ? Mana dia tinggal ? Siapa mak ayah dia ? Macam mana Zara kenal dengannya ? bertalu-talu soalan yang diberikan oleh Suraya.

“Oh...kawan Zara tu nama dia Seri...Dia tinggal kat belakang rumah kita ni...mak ayah dia Zara tak tahu siapa sebab dia tak pernah cerita pun pasal mak ayah dia…Zara jumpa dia dekat semak belakang rumah kita tu…dia datang ikut situ.” terang Zara kepada Suraya.

“Seri cantik umi…baik…sentiasa bersih…kesian dia umi, dia takde kawan nak bermain…jadi dia ajaklah Zara jadi kawan dia…tapi kan umi, Zara tengok dia asyik pakai baju yang sama aje warna putih.” sambung Zara lagi sambil berbaring diatas pangkuan Suraya.

Allah. Seram sejuk badan Suraya dibuatnya. Setahu Suraya belakang rumahnya adalah hutan dan tiada kawasan perumahan disitu. Siapakah yang dimaksudkan Zara itu ? Apakah yang dia mahu dari Zara ?

Malam itu Suraya menyuruh anak-anaknya masuk tidur awal. Dia ingin membincangkan hal ini dengan suaminya. Risau yang bertandang di hati membuatnya tak senang duduk.

“Abang…Sue ada benda nak cakap ni…pasal Zara.” kata Suraya kepada Azman yang sedang menonton tv.

“Kenapa dengan Zara ? Dia tak sihat ke Sue ?” tanya Azman sambil menoleh ke arah Suraya.

“Tak…dia sihat…cuma Sue tengok anak kita dua tiga hari ni perangai pelik lah bang.” adu Suraya.

“Pelik ? Pelik yang macam mana tu Sue…abang tengok ok jer anak kita tu.” soal Azman pelik.

“Dua tiga hari ni Sue tengok Zara selalu bercakap sorang-sorang bang…dia macam tengah bersembang dengan seseorang…bila Sue tanya cakap dengan siapa…dia kata ‘kawan’…tapi Sue tengok takde sesiapa pulak yang main dengan dia waktu tu.” kata Suraya.

“Ish…mungkin dia bercakap dengan diri sendiri agaknya…biasa la budak-budak kalau bermain seorang diri memang akan automatik berdialog sendiri…takde ape lah…dah jangan fikir bukan-bukan...jom masuk tidur” terang Azman kepada Suraya sambil bangun menutup tv dan melangkah masuk ke bilik. Suraya mengikut sambil memikirkan kata-kata suaminya itu.

*** 12 tengah malam ***

“Eh Seri…kenapa datang sini ? macam mana awak masuk ? Mak awak tak marah ke awak datang sini ni ?” Zara bertanya kepada Seri.

“Oh macam tu ke ? Ok lah awak boleh tidur sebelah Zara…tapi jangan lasak-lasak ya !” Zara memberi amaran sambil tersenyum.

Malam tu Zara tidak tidur. Dia berbual-bual dengan Seri sambil bergelak ketawa. Kakaknya, Zura yang mendengar seakan orang sedang berbual itu terjaga dan ternampak adiknya sedang duduk di belakang pintu sambil bermain ‘sep sep tom tom’. Zura menenyeh matanya berulang kali. Dengan siapa adiknya bermain tengah-tengah malam ni ?.

“Adik…buat apa kat situ ? Kenapa tak tidur lagi ? tanya Zura. Terkejut Zara bila ditegur kakaknya.

“Seri datang ajak main…nanti adik tidur lah.” jawab Zara. Meremang bulu roma Zura bila mendengar jawapan dari adiknya itu. Seri ? Siapa Seri ? Mana ? Takde pun.

“Ape yang adik merepek ni ? Dah tidur sekarang !” arah Zura sambil menarik tangan Zara naik ke atas katil.

Zara terpaksa akur. Sambil berjalan ke katil sempat dia menarik tangan Seri untuk naik ke katil sekali. Zura perasan selepas adiknya naik ke atas katil, dia merasakan katilnya bergerak seakan ada orang berjalan memijak tilam disebelah adiknya. Seram sejuk Zura dibuatnya, terus dia membaca ayatul Qursi dan menyelubung didalam selimut.

Pagi itu semua sudah menunggu dimeja makan untuk sarapan pagi. Hari minggu mereka sekeluarga hanya duduk dirumah sahaja. Suraya masih sibuk mengemas dapur di bantu oleh Zura, Zaidi awal-awal lagi sudah keluar untuk membuat study group manakala Zara sibuk bermain anak patungnya di atas pangkin sambil ditemani Azman yang mencuci kereta.

Sedang leka Azman mencuci kereta dia terdengar adik berbual-bual. Dia memerhatikan tingkah laku anaknya. ‘Mungkin bercakap sendiri agaknya’ Azman bermonolog didalam hati. Beberapa minit kemudian dia melihat Zara berlari-lari mengelilingi pangkin sambil bergelak ketawa seakan-akan ada yang mengejarnya. Azman menjadi pelik. Mungkin ada benarnya apa yang diberitahu Suraya semalam.

Azman tergopoh-gopoh masuk kedapur mendapatkan Suraya.

“Sue…abang rasa apa yang Sue cakap semalam tu betul…” Azman berkata sambil jarinya menunjukkan kearah Zara yang masih lagi bermain kejar-kejar dengan Seri yang hanya boleh dilihat oleh Zara seorang. Suraya melihat kearah Zara begitu juga Zura.

“Erm…umi ayah…along pun ada bende nak beritahu.” kata Zura tergagap-gagap.

“Apa dia along.” tanya Suraya tak sabar.

“Malam tadi…masa tu pukul 12 tak silap along…masa tu along dah tidur tapi tersedar sebab along terdengar orang berbual-bual…bila along buka mata, along tengok adik tengah duduk kat belakang pintu macam tengah bermain dengan seseorang siap bergelak ketawa…along tanya la adik…adik main dengan siapa, dia kata dengan kawan dia nama Seri…tapi along tengok masa tu takde sesiapa pun dalam bilik tu kecuali kami berdua…along apa lagi…paksa la adik tidur…meremang bulu roma along umi…siapa Seri tu umi ? terang Zura panjang lebar. Setahunya tiada budak bernama Seri didalam kampungnya ini.

Melopong mulut Azman dan Suraya bila mendengar cerita dari Zura. Suraya terus tak sedap hati. ‘Tolonglah ! jangan ganggu anak aku ! pergilah kau jauh-jauh !’ katanya didalam hati.

Kejadian itu berlarutan berminggu lamanya. Selama berminggu itu lah Suraya melihat perangai pelik Zara. Bercakap seorang diri, kadang ketawa kadang marah-marah. Ada satu hari Zara mengadu kepada Suraya mengatakan yang kawannya itu sudah 3 hari tidak datang bermain dengannya. Selama tiga hari itu juga lah Zara termenung sendiri melayan perasaan. Entah apa yang difikirkan. Selepas 3 hari terlihat Zara kembali ceria seperti hari-hari sebelum ni. Azman dan Suraya semakin risau dengan keadaan Zara. Takut berlarutan Suraya dan Azman sepakat untuk membawa anaknya berjumpa dengan seorang Ustaz.

Suraya leka menonton tv di ruang tamu bersama Azman, tiba-tiba Zara menghampiri mereka dan berkata..

“Umi…semalam kan Seri ajak Zara datang rumah dia…dia kata asyik dia aje yang datang rumah kita…Zara tak pernah pun datang rumah dia.” kata Zara sambil meletakkan kepala diatas pangku Suraya.

“Boleh ke Zara nak pergi umi…ayah ?” tanya Zara lagi. Azman dan Suraya berpandangan.

“Err…tak boleh sayang…Zara kan masih kecik…mana boleh jalan sorang diri pergi rumah orang.” balas Suraya.

“Ala…Seri tu pun masih kecik jugak tapi boleh je datang rumah kita sorang-sorang…mak dia tak marah pun…lagi lah datang ikut semak-semak tu aje” kata Zara seakan merajuk.

“Zara…maksud umi tu tak elok budak yang umur macam Zara nak masuk dalam semak-semak tu…kalau Zara hilang macam mana ? Kene culik ke ha…dah tak dapat jumpa umi, ayah dengan kakak abang lagi…tak sayang kami yer ?” pujuk Azman.

“Mestilah sayang…” kata Zara sambil memeluk Suraya.

“Ha kalau sayang…lain kali kalau sesiapa ajak pergi mana-mana Zara jangan ikut ya…kata umi dan ayah tak bagi…Ok.” kata Azman lagi sambil menaikkan ibu jarinya.

“Ok ayah.” balas Zara dengan mengenyitkan sebelah matanya pula.

“Emm sayang…kawan Zara tu dah balik ke ?” saja Suraya bertanya soalan itu kepada Zara.

“Belum umi…dia ada kat sini…duduk dengan kita sekali…dia lah yang suruh Zara tanya kat umi dan ayah, boleh ke kalau Zara nak pegi rumah dia.” kata Zara bersahaja.

Melilau mata Azman dan Suraya memandang keliling ruang tamu itu. Ternyata tiada sesiapa melainkan mereka bertiga. Suasana sunyi seketika. Prapp…Prappp…Prappp bunyi lantai dipijak sedangkan tiada sesiapa yang berjalan waktu itu.

“Sue…abang rasa kita kene bawak Zara berjumpa dengan Ustaz Iman jugak…ada bende yang nak kan anak kita ni.” tiba-tiba Azman bersuara.

Suraya mengganguk tanda setuju. Seri yang hanya mendengar perbualan itu berasa sedih. Sedih akan berpisah dengan Zara nanti. Dia perlu buat sesuatu.

***********************

Petang itu Zara bermain seperti biasa di pangkin. Waktu akan menjelang senja tak berapa lama lagi. Suraya masih sibuk didapur menyiapkan makan malam. Tiba-tiba Zara tak kelihatan di pangkin. Suraya panik dan memanggil Azman serta dua anaknya.

“Abang…adik hilang !” beritahu Suraya cemas.

“Ha…hilang ? Biar betul awak ni Sue…dah cuba panggil dia ? Mungkin kat bahagian depan ke.” kata Azman tenang.

“Tak mungkin…puas dah Sue jerit nama adik…tapi takde sahutan…tadi elok aje dia main kat situ…dua minit Sue tengok balik dah takde.” terang Suraya yang nampak begitu cemas.

“Kita cari dulu…Sue cari bahagian belakang…along dan angah cari dalam rumah dan ayah akan cari bahagian depan rumah.” arah Azman kepada isteri dan anaknya. Mereka pun berpecah mencari Zara.

Jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Zara masih belum ditemui. Mereka sekeluarga berkumpul seketika untuk menenangkan diri. Suraya sudah menangis teresak-esak. Zura disebelah menenangkan sambil mengurut belakang uminya itu.

“Kamu semua tunggu dirumah…ayah nak panggil Ustaz Iman dan minta bantuan orang kampung…tunggu sini mana tahu adik balik nanti.” kata Azman. Mereka bertiga mengangguk faham.

Tak lama lepas tu Azman balik, Ustaz Iman dan beberapa orang kampung ada bersamanya. Mereka masuk kearah belukar dibelakang rumah Azman dan berteriak memanggil nama Zara. Operasi mencari sehingga ke pukul 4 pagi. Tiga orang penduduk kampung melaungkan azan berkali-kali masih tiada lagi tanda-tanda akan menjumpai Zara. Ustaz Iman membacakan beberapa potong ayat suci Al-Quran dan melaungkan azan. Suasana diam seketika. Lantas Ustaz Iman memanggil Azman dan Suraya.

“Ada yang berkenan anak kamu…dah lama keluarga ini perhatikan anak kamu…baru sekarang dia muncul.” jelas Ustaz Iman kepada Suraya dan Azman.

“Keluarga ? siapa dia Ustaz ?” tanya Azman pelik sambil menggarukan kepalanya.

“Macam ni lah…subuh pun bakal tiba sekejap lagi…kita solat Jemaah dulu kemudian kita sambung cari anak kamu dan saya akan cerita segalanya nanti.” arah Ustaz Iman. Mereka semua akur.

Usai solat Jemaah dilakukan. Pencarian diteruskan semula. Ustaz mengarahkan empat orang kampung melaungkan azan di setiap empat penjuru, manakala dia akan duduk di tengah-tengah empat orang tadi. Ustaz memberi arahan supaya jangan berhenti melaungkan azan selagi belum di suruh berhenti. Ustaz Iman memulakan pembacaan ayat suci Al-Quran. Tasbih ditangannya diputar laju. Terkumat kamit mulutnya membaca ayat-ayat suci dan dia melibaskan tasbihnya ke tanah “Allahuakbar” laungnya. Angin bertiup kencang seperti ribut taufan. Sekali lagi tasbih dihayunkan ke tanah “Allahuakbar” dan akhirnya angin yang bertiup kencang hilang serta merta.

“Berhenti melaungkan azan…tetapi kekalkan berzikir…kita cari dikawasan sini.” arah Ustaz Iman.

Semua orang kampung termasuk Azman mencari Zara. Akhirnya Zara ditemui di sebuah pokok besar di dalam hutan itu. Dia kelihatan seperti sedang tidur nyenyak. Azman memeriksa tubuh Zara risau sekiranya anaknya itu terluka. Ternyata tiada sedikit luka pada tubuh Zara. Zara kelihatan sihat dan sangat bersih. Dia mendukung Zara pulang ke rumah. Suraya sedikit lega melihat suaminya telah menjumpai Zara. Tak sabar untuk memeluk anaknya itu.

Di rumah, Ustaz Iman meminta segelas air dan membacakan ayat suci Al-Quran lalu disapu ke muka Zara. Apabila Zara tersedar Ustaz Iman menyuruh Zara minum air itu sedikit untuk memulihkan semangat Zara. Zara berasa hairan. Kenapa ada orang ramai dirumahnya.

“Zara kemana sayang…umi risau.” kata Suraya sambil memeluk anaknya dan menciumnya.

“Zara tak pergi mana-mana la umi…Zara pergi rumah Seri aje…Seri kata pergi rumah dia sekejap aje…nanti dia hantar la Zara balik semula…Umi, mak ayah Seri baik sangat umi…rumah diorang bersih…besar…masakan mak Seri pun sedap umi…tapi pelik, semua orang kat kawasan tu pakai baju putih aje umi…Seri takde kakak dan abang sebab tu dia sunyi dan nak berkawan dengan Zara…Zara main-main dekat kawasan rumah dia…best umi, nanti Zara nak pergi lagi la umi…mula-mula Zara tak nak ikut dia sebab takut umi marah…tapi dia pujuk jugak Zara suruh ikut dia…jadi Zara pun ikut lah sekejap.” terang Zara panjang lebar tanpa mengetahui hal yang sebenarnya.

“Dah-dah jangan cakap apa-apa lagi…ya..ya..umi faham.” semakin erat pelukan Suraya kepada Zara. Takut dia kehilangan anak bongsunya itu.

“Ustaz…apa yang mengganggu anak saya ni ?” tanya Azman.

“Bunian…orang bunian…mereka telah lama perhatikan anak kamu ni…tapi jangan lah kamu risau…dia bukan berniat tidak baik…dia hanya mahu anaknya berkawan dengan anak kamu…selama ni anak kamu hanya bertemankan bunian saja…tetapi mereka bukanlah nak mengambil anak kamu terus dari kamu…mereka bunian yang baik…mereka juga mahkluk Allah S.W.T cuma tak terlihat dari mata kasar kita sahaja.” terang Ustaz Iman kepada Azman dan Suraya. Mereka mengangguk faham.

“Err…boleh tak Ustaz tolong pulihkan anak saya ni Ustaz…maksud saya pulihkan dia dari nampak-nampak bende yang seumpama ni.” kata Suraya pula.

“InsyaAllah…segalanya diatas keizinan yang maha esa…saya berusaha membantu selebihnya kita serahkan pada yang maha berkuasa.” ujar Ustaz Iman.

**** seminggu kemudian ****

Zara kelihatan bersemangat untuk ke sekolah. Nak jumpa kawan-kawan katanya. Zara juga sudah tidak ingat lagi kepada ‘kawan’ nya yang satu itu iaitu Seri. Ustaz Iman telah memulihkan Zara supaya tidak lagi teringat kepada Seri.

Pulang dari sekolah, Zara bermain seperti biasa di pangkin. Kali ni dia bermain bersama Jija dan Ana anak jiran sebelah rumahnya. Seri ? ya Seri hanya mampu memerhatikan Zara hanya dari kejauhan. Perasaan sedih terbit kedalam dirinya. Dia tidak dapat menjejakkan kakinya lagi kerumah Zara kerana telah dipagar oleh Ustaz Iman.

Suraya hanya memerhati anaknya bermain dengan kawan-kawannya dari dapur. Didalam hati dia berdoa kepada Allah kerana telah menyelamatkan anaknya dan diberi peluang dia bertemu kembali anaknya. ‘Syukur padamu ya Allah’ doanya didalam hati.

TAMAT

KARYA : #aiNaj

Himpunan cerita seram, gambar dan video seram

Memancing di Pulau Puaka

Aku ni tak la hobi memancing sangat. Tapi sebab pulau aku keje ni facilities dia tak lengkap, takde tempat nak pegi sangat. Mall ke movie ke...